1014px-Map of Kerian District Perak.svg

Daerah Kerian terbahagi kepada lapan buah mukim iaitu Mukim Parit Buntar, Bagan Tiang, Tanjung Piandang, Kuala Kurau, Bagan Serai, Beriah, Gunong Semanggol dan Selinsing, tetapi ianya terletak di bawah tujuh (7) pentadbiran Penghulu Mukim dan 90 Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) yang diamanah dan bertanggungjawab untuk mentadbir 246 unit kampung. Pusat pentadbiran daerah ini terletak di Parit Buntar. Bandar-bandar utama lain ialah Bandar Bagan Serai, Pekan Gunung Semanggol dan Pekan Kuala Kurau.

Daerah ini dikenali sebagai Jelapang Padi Negeri Perak kerana terdapat kawasan - kawasan penanaman padi yang luas. Skim pengairan telah dibina di kawasan ini bagi tebusguna tanah. Terusan atau tali air dibina bagi memudahkan kawalan air masuk dan keluar dari sawah. Beberapa bahagian mengalami masalah banjir pada musim-musim tertentu. Selain itu ramai penduduk bekerja sebagai nelayan terutama di Sungai Acheh, Bagan Tiang, Tanjung Piandang dan Kuala Kurau.

Kepadatan penduduk Daerah Kerian dan kawasan yang menjadi tumpuan ialah Parit Buntar, Bagan Serai, Kuala Kurau dan Tanjung Piandang. Mukim Selinsing merupakan kawasan yang paling kurang penduduk. Purata kadar pertumbuhan penduduk Daerah Kerian ialah 1.4 setahun.Daerah ini terkenal dengan petempatan masyarakat Melayu berketurunan Banjar di sekitar Bagan Serai, Gunung Semanggol dan Alor Pongsu yang mempunyai keunikan budaya dan amalan hidup.

Kuala Kurau yang terletak di dalam Daerah KerianNegeri Perak merupakan sebuah bandar yang terletak di pinggir Sungai Kurau dengan persekitaran perkampungan nelayan dan petani. Persekitaran desa dengan aktiviti industri desa dan kraftangan di samping aktiviti berkaitan perikanan seperti pendaratan hasil laut, memproses belacan dan ikan kering, ternakan ikan dalam sangkar dan ternakan udang telah menjadi aset pelancongan di sini. Kawasan pinggir pantai Kuala Kurau juga amat terkenal sebagai kawasan ternakan kerang.


Jika ingin melihat kehidupan nelayan, menyusuri sungai Kurau adalah langkah yang paling baik. Kampung Nelayan, Kampung Tok Ngah dan Kampung Raja Bashah boleh dilawati sepanjang persisiran Sungai Kurau. Sejarah pelabuhan Sungai Kurau yang tidak dibukukan turut berupaya menjadi aset utama pelancongan di Kuala Kurau. Elemen-elemen pelabuhan dapat dilihat di sini seperti papan tanda had pelabuhan, tempok dan pelantar konkrit (sebahagian sudah dirobohkan) dan laluan keretapi dan bangunan-bangunan lama di Pekan Kuala Kurau.

sumber : Wikipedia